Wednesday, December 19, 2007

PUISI MUSIM HAJI

Nikmat

Di rumahmu
Semuanya seratus ribu kali ganda.
Sama ada pahala atau dosa
Atau nikmat yang di rasa.
Allahu Akbar ...
Setitis manis ini
Melekat di lidahku
Berpanjangan
Seminit terasa sejam.
Sehingga aku pengsan
Dalam kenikmatan.
Belum lagi di istana firdausmu.
Allahu Akbar...Allahu Akbar...Allahu Akbar!!!
Laa ilahaillallahu akbar!!!
Allahu Akbar walillahilhamd!!!

PUISI MUSIM HAJI

Di RumahMu I

di rumahMu
sebagai tetamu
waktu laju berlalu.
penaku kaku
dakwatnya beku
tak dapat mencatat
tarian satu langkah
dari berjuta budaya
dan nyanyian satu suara
dari berjuta bahasa

aku sudah tiada
lemas dalam lautan
arus deras
tujuh putaran
berjuta manusia
dari tujuh benua
satu rasa
satu suara.
aku adalah mereka
dan mereka adalah aku
tetapi aku tak tahu
dan mereka juga tak tahu
kerana semua adalah satu
demi yang satu.


2005

Sunday, December 02, 2007

Puisi Musim Haji

Di Rumahmu II

Aku datang
Menerima jemputanmu
Melalui hatiku.

Aku datang
Membawa beg besar
Berat dengan solat yang kutinggalkan.

Aku datang
Membawa beg besar
Berat dengan pembohogan.

Rumah sucimu
Jangan dikotorkan.

Biar saja aku di sini
Di halaman rumahmu
Bersama burung merpati

Biar saja aku di sini
Di halaman rumahmu
Bersama debu tapak kaki

Biar saja aku di sini
Di halaman rumahmu
Bersama tikaman sejuk pagi.

Biar saja aku di sini
Di halaman rumahmu
Dibakar panas mentari.

Biar saja aku di sini
Di halaman rumahmu
Akan kupikul beg besar ini
Ke Padang Arafah
Seperti Adam dan Hawa
Memohan ampun selama 40 tahun.

Beg besar ini
Biar kugendong
Sepanjang hari sehingga malam
Membawanya ke Mina
Menunggu tasyrik
Melupuskan beg besar ini
Bersama seekor kambing
Yang lebat dengan bulu putih
Dan darah segar mengalir.
Jika tidak diterima
Akan kugendong beg besar ini
Ke halaman rumahmu.

Biar saja aku di sini
Di halaman rumahmu
Bersama burung merpati
Bersama sejuk pagi
Dibakar panas mentari
Bersama debu sejuta kaki
Bersama beg besar ini.

Akan kubawa kembali
Beg besar ini
Menunggu jemputanmu lagi
Pada suatu hari
Jika aku belum mati
Dengan beg besar ini.

26 Disember 2005
(akan terbit dalam Sanib Said, Menunggu Laila: Sebuah Antologi)

Sunday, November 25, 2007

ALFATIHAH

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Dato Hj. Mohamad Taha Ariffin, mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan seorang budayawan terkenal, telah kembali ke Rahmatullah pada kira-kira jam 1200 tengahari pada 24 November 2007. Beliau mengidap kanser kolon sejak dua tahun yang lalu. Marilah kita sedekahkan AlFatihah kepada beliau dan doakan semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.
Selain terkenal sebagai seorang tokoh pegawai perkhidmatan awam dan tokoh sukan beliau juga adalah tokoh budaya dan seni negeri Sarawak. Bermula sebagai pelakon bangsawan kampungan pada tahun 1960an beliau kemudian menjadi pemimpin kebudayaan dan kesenian ketika bertugas sebagai Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Sosial dari tahun 1988 hingga 1996. Beliau berfikiran besar dan kualiti tinggi dalam berbagai persembahan. Dalam hubungan ini beliau banyak membantu para pengiat seni dan budaya Sarawak.
Pada hari raya kedua saya dan keluarga berkesempatan menziarahi beliau dan keluarga di Hopskin Hospital di Singapura. Alhamdulillah, saya beraya di tempat isteri. Walaupun kelihatan lemah dan pucat tetapi beliau sempat bercakap mengenai budaya dan masalah orang Melayu di Sarawak dan bila sembuh nanti beliau mengajak saya membantu beliau dalam perjuangn ini. Saya kata ”InsyaAllah saya akan bantu tapi biarlah Dato berubat dan berehat terlebih dahulu.”
Kali terakhir saya bertemu beliau ialah di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada pagi Jumaat, 13 Oktober apabila anak saya, Dr. Salawati memberitahu tentang keadaan kritikal. Walaupun tidak boleh dikunjungi tetapi alhamdulilah seorang jururawat membenarkan saya dan isteri masuk. Apabila saya pegang tangannya beliau telah membuka mata dan saya membisikan syahadah ke telinganya dan membisikan zikir menyebut nama Allah dalam hati dan minda. Beliau mengangukkan kepadanya dan memecit tangan saya. Pada malamnya saya memohon bantuan Mohd Bedari dari Yayasan Budaya Melayu menganjurkan majlis bacaan Yaasin dan solat hajat yang dipimpin oleh Hj. Joji. Di antara yang hadir ialah sdr. Zaini Ozea, Rasli Shahran dan beberapa rakan lain.

Friday, October 12, 2007

SALAM ADILFITRI WALFAIZIN 1428/13102007

Hari raya dah nak dekat
Kemas rumah sampai penat
Nak beli kad dah tak sempat
SMS lah juga apa nak buat

dari Dil, Singapura

Adakala mata silap memandang
Telinga salah mendengar
Lidah terlanjur berkata
Fikiran khilaf menafsir.
Maaf dipinta zahir dan batin

dari Hj. Halidi, Brunei

Jari sepuluh kami susunkan
Ampun dan maaf kami pohonkan
Minal aidil wal faizin
Mohon maaf lahir dan batin

dari sdr. Sidek, KL

Mercun dah berbunyi
Lagu raya dah berkumandang
Anak ayam dapat lari
Anak itik kena tendang
Kad raya malas beli
Hantar SMS lagi senang

dari sdr. Bolhan, Kuching

Dalam kerendahan hati
Ada ketinggian budi
Dalam kelembutan lidah
Ada keterlanjuran kata
Dalam gurau senda
Ada khilaf dosa
Harap dimaafi jua.

dari sdr. Hj. Hasbi, Limbang

For things I did wrong,
For words I said that are hurtful,
For your food I ate,
For jokes you couldn't take,
For advice you didn't accept,
I beg your forgiveness
With all my ten fingers
Thousands of times and many years
Except on this Adilfitri.

dari sdr. Mohd Zain dan ditambah, Sanib.

PUISI RAMADHAN

R A M A D H A N I

Pada bulan Ramadhan
Dalam jihad besar
Apa umat Melayu dapat?
Kemenangan
Sekadar sebiji ketupat
Dan sepinggan rendang.
Dan kehausan dan kelaparan
Sepanjang bulan di waktu siang.

16122002

RAMDAHAN II

Aku cat rumahku ini
Rumah dihatiku.
Biar nampak berseri.
Aku cat rumahku ini
Dengan tahlil.
Laa illaaha illallah
Mengikis dosa-dosa nafsu berahi
Meleburkan dosa-dosa mata
Dosa mulut dan syahwat.
Tigapuluh lapis semuanya, satu semalam
Ribuan sapuan dalam tiga lafaz
Tetapi tidak ditanggung berkesan
Dan tahan lama seperti Nippon
Tawakal, redha dan sabar.

Ya, Rabbi,
Aku jengok rumahku setahun sekali
Setor di hatiku penuh hasad dengki dan cinta duniawi
Mulutku adalah jamban penuh fitnah, riak, bohong dan caci-mencaci.
Ya Illahi, ampunilah hambamu ini.