Sunday, November 25, 2007

ALFATIHAH

Dari Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Dato Hj. Mohamad Taha Ariffin, mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dan seorang budayawan terkenal, telah kembali ke Rahmatullah pada kira-kira jam 1200 tengahari pada 24 November 2007. Beliau mengidap kanser kolon sejak dua tahun yang lalu. Marilah kita sedekahkan AlFatihah kepada beliau dan doakan semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin.
Selain terkenal sebagai seorang tokoh pegawai perkhidmatan awam dan tokoh sukan beliau juga adalah tokoh budaya dan seni negeri Sarawak. Bermula sebagai pelakon bangsawan kampungan pada tahun 1960an beliau kemudian menjadi pemimpin kebudayaan dan kesenian ketika bertugas sebagai Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Sosial dari tahun 1988 hingga 1996. Beliau berfikiran besar dan kualiti tinggi dalam berbagai persembahan. Dalam hubungan ini beliau banyak membantu para pengiat seni dan budaya Sarawak.
Pada hari raya kedua saya dan keluarga berkesempatan menziarahi beliau dan keluarga di Hopskin Hospital di Singapura. Alhamdulillah, saya beraya di tempat isteri. Walaupun kelihatan lemah dan pucat tetapi beliau sempat bercakap mengenai budaya dan masalah orang Melayu di Sarawak dan bila sembuh nanti beliau mengajak saya membantu beliau dalam perjuangn ini. Saya kata ”InsyaAllah saya akan bantu tapi biarlah Dato berubat dan berehat terlebih dahulu.”
Kali terakhir saya bertemu beliau ialah di Pusat Perubatan Normah, Kuching pada pagi Jumaat, 13 Oktober apabila anak saya, Dr. Salawati memberitahu tentang keadaan kritikal. Walaupun tidak boleh dikunjungi tetapi alhamdulilah seorang jururawat membenarkan saya dan isteri masuk. Apabila saya pegang tangannya beliau telah membuka mata dan saya membisikan syahadah ke telinganya dan membisikan zikir menyebut nama Allah dalam hati dan minda. Beliau mengangukkan kepadanya dan memecit tangan saya. Pada malamnya saya memohon bantuan Mohd Bedari dari Yayasan Budaya Melayu menganjurkan majlis bacaan Yaasin dan solat hajat yang dipimpin oleh Hj. Joji. Di antara yang hadir ialah sdr. Zaini Ozea, Rasli Shahran dan beberapa rakan lain.