Wednesday, January 30, 2008

PUISI MUSIM CINTA

Mencuri Waktu
(Cinta Notakaki)

Masihkah kau ingat
Puisi cintaku kepadamu
Tiga dekad yang lalu

Ku tuliskan nota kaki
Cinta kita
Esei kisah kita berdua
Cintaku sehangat matahari
Dan sesegar embun pagi
Sampai ke akhir hayat ini.

Kutuliskan nota kaki
Cinta kita
Bermula di tahun ketiga
Kolej Kelima, Universiti Malaya
Ketika peperiksaan akhir tiba.

Kutuliskan nota kaki
Cinta kita
Betapa kita mencuri waktu
Di antara kuliah dan buku.
Di antara ijazah dan asmara
Di antara kampung dan bandaraya.

Kerana sumpah menara gading
Serta harapan ayah dan ibu
Kerana telah menyeluk pekasam
Kerana telah mengegam bara.

Tidak indah varsity green,
Tidak romantis tasik,
Tidak seronok kota KL.

Kita mencuri waktu
Di taman indera buku
Pagi, petang atau malam
Ataupun di hujung minggu.
Seperti merpati
Kita terbang ke rimba ilmu.
Kita mencuri waktu
Di celah-celah rak buku
Kita meniti dari rak ke rak
Dari tingkat ke tingkat.
Dari meja ke meja.
Dari buku ke buku
Dari halaman ke halaman
Dari perenggan ke perenggan
Dari ayat ke ayat
Dari perkataan ke perkataan.

Betapa kita memampu membilang
Dan menghitung waktu
Lalu kita mencuri waktu
Di antara kuliah dan nota,
Di antara esei dan tutorial.
Di antara rujukan dan peperiksaan
Di Dewan Tunku Canselor.
Jelingan dan senyuman
Kita letak di nota kaki.

Kita mencuri waktu
Mencari berbagai ilmu.
Di pentas inspirasi Panggung Eksperimental
Mahasiswa berbekal teori dan data emperikal
Memancung kepala kapitalisme dan imperlialsime
Menikam kemiskinan dan kelaparan.
Atau debat para pemimpin
Bersilat minda.
Mengungkap kesenian dan keintelektualan.
Membela bangsa yang tertindas
Di tanah air sendiri.

Alhamduillah, bara menjelma
Menjadi segulung warkah bertinta emas
Bukti kejernihan tekad murni
Anugerah Tuhan
Pada tahun tujuhpuluh enam.


3012004